Friday, July 30, 2010

PERISTIWA BULAN SYAABAN

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dalam bulan syaaban satu peristiwa yang berlaku dalam sejarah Islam ialah peristiwa pertukaran Qiblat yang awalnya menghadap masjidil Aqsa kemudian menghadap ke Masjidil Haram.
Peristiwa ini berlaku setelah 16 atau 17 tahun selepas Rasulullah SAW berada di Madinah

Ibnu Sa‘ad di dalam kitab al-Tabaqat ada meriwayatkan bahawa Rasulullah sedang melawat Ummu Bisyr bin al-Barra’ bin Mabrur di kawasan Bani Salamah. Beliau telah menyediakan jamuan untuk Rasulullah dan para sahabatnya. Apabila tiba waktu solat zuhur, baginda bersolat di masjid perkampungan itu. Sedang baginda berada dalam rakaat yang kedua solatnya, turun wahyu daripada Allah memerintahkannya agar menukar arah dari Masjidil Aqsa ke arah Kaabah di Masjidil Haram. Baginda terus berpaling menghadap ke arah kaabah ke sudut bertentangan dengan mizab (saluran emas) dengan pusingan 180 darjah dan terus menyambung baki solatnya. Oleh kerana itu masjid itu dinamakan Masjid Qiblatain yang masih lagi terdapat di Madinah dan merupakan salah satu tempat lawatan oleh jemaah yang mengerjakan umrah mahu pun haji di sana.

Imam Bukhari juga ada meriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar sewaktu orang bersolat subuh di masjid Quba’, tiba-tiba datang berita mengatakan Rasulullah telah diarahkan supaya menghadap ke Kaabah, maka mereka pun berpaling ke arah tersebut.

Mengenai perbezaan riwayat berkenaan perubahan kiblat di atas, al-Hafiz Ibnu Hajar ada menjelaskan bahawa solat pertama ke arah Kaabah ialah solat di Bani Salamah di masjid Qiblatain iaitu solat zuhur. Solat pertama menghadap kiblat di Masjid Nabawi pula ialah solat asar. Manakala solat subuh pula ialah di masjid Quba.

Setelah berlaku perubahan kiblat itu, orang-orang munafik dan kaum Yahudi meragui kejadian itu lalu bertanya: Apakah yang menyebabkan mereka berpaling dari kiblat yang mereka hadapi selama ini? Oleh sebab itu, Allah menurunkan ayat 142 sebagai jawapan kepada pertanyaan yang sengaja dilontarkan oleh kaum Yahudi sebagai bahan ejekan dan sindiran serta untuk mengelirukan kaum Muslimin. Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: Orang-orang yang bodoh itu akan berkata: Apakah yang menyebabkan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka hadapi selama ini? Katakanlah (wahai Muhammad): Timur dan Barat itu kepunyaan Allah s.w.t. (maka ke mana sahaja diarahkan Allah untuk menghadap, maka wajiblah dipatuhi). Allah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” (Surah al-Baqarah, ayat 142)

Perubahan arah kiblat ini merupakan satu tamparan yang cukup hebat kepada kaum Yahudi yang selama ini begitu berbangga dengan kiblat mereka iaitu Baitul Maqdis sehingga mereka mencemuh dan mengejek umat Islam kerana terpaksa bergantung dan mengikut mereka walaupun dalam menentukan arah solat pada ketika itu. Malah, kewajipan bersolat menghadap kiblat adalah satu perintah dan ketetapan daripada Allah dan sesiapa sahaja tidak boleh mempersoalkan mengapa perlu menghadap ke Kaabah apabila melakukan solat. Inilah sebenarnya konsep ketaatan dan kepatuhan yang mutlak hanya kepada Allah sahaja dalam apa juga keadaan dan tidak boleh disamakan dengan ketaatan kepada makhluk.


Masjid Qiblatain

“Sungguh Kami melihat mukamu, menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan dimana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberi Al Kitab memang mengetahui, bahwu berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari Tuhannya dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan” (AL-Baqarah ayat 144)